Friday, April 16, 2010

Masalah sosial runtuhkan tamadun manusia

Oleh Amran Zakaria
Berita Harian
2010/04/15


Peningkatan kes buang bayi, zina bukti masyarakat masa kini alami sakit jiwa, rosak rohani

APA dah jadi dengan masyarakat kita kini? Semakin dikutuk perbuatan membuang bayi, semakin menjadi pula perlakuannya. Hari ini dilancarkan kempen kesedaran untuk menyelamatkan bayi yang dikandung atas rasa ihsan dan perikemanusiaan, namun keesokannya lain pula cerita dipaparkan di dada akhbar.


Pelbagai usaha dilakukan untuk mengatasi gejala negatif ini. Namun, apa yang berlaku seolah-olah bukan menjadi kesalahan kepada mereka yang membuang bayi dikandung sendiri. Bayi yang terhasil daripada hubungan haram itu suci dan tidak berdosa. Yang berdosanya mereka yang terjebak dengan gejala tidak bermoral itu.

Moral amat berkait rapat dengan akhlak dan sahsiah seseorang yang melambangkan tahap peradaban. Moral sering dinilai dari sudut agama tanpa mengira masa dan zaman. Apabila manusia melakukan perbuatan tidak bermoral, bermakna mereka menghancurkan tamadun yang dibina.

Seorang penyair Mesir yang terkenal, Shauki Bik pernah berkata: “Suatu bangsa ditentukan kualiti akhlaknya, jika akhlak rosak maka hancurlah bangsa itu.” Moral manusia boleh roboh dan runtuh apabila mereka tidak menjaga keturunan, seperti berlakunya penzinaan secara berleluasa, pergaulan bebas dan hal-hal yang kebiasaannya membabitkan golongan remaja, hubungan songsang, perlakuan lucah dan sumbang, meminum arak sebagai lambang kemegahan dan macam-macam perlakuan yang bertentangan dengan tata moral manusia yang beragama.

Gejala buang anak yang berlaku hari ini adalah bukti paling nyata bahawa masyarakat kita sedang dilanda masalah keruntuhan moral serius. Kebejatan sosial yang sedang berlaku itu menandakan masyarakat kita sedang sakit jiwa dan rohaninya amat parah.

Mental mereka kehilangan radar berfikir untuk bertindak secara rasional. Hukum agama yang menjadi disiplin kehidupan manusia tidak dipedulikan lagi demi kebebasan seperti dipromosikan dunia barat. Hari ini perzinaan berlaku di depan mata dalam keadaan yang mengaibkan, namun dirasakan bangga oleh pelakunya. Ada pula perawan menceritakan kepada orang lain akan kehilangan mahkotanya dengan penuh rasa bangga. Jauh sekali rasa berdosa dan malu.

Memang betul bahawa moral itu sering dicabar oleh faktor perubahan masa dan persekitaran. Namun nilai moral mesti dipertahankan. Jangan sekali-kali digadaikan seperti menjual barang murahan di pasaran terbuka. Kita bukan berkiblatkan Barat dan semua pembawaan perilaku dan moral mereka mesti dipertimbangkan demi memelihara moral kita.

Pastikan ikatan moral tidak berubah walaupun masyarakat mengalami evolusi mental. Caranya dengan mengamalkan tuntutan agama. Maknanya, agama adalah pengikat kepada kebebasan moral dan tingkah laku manusia.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang yang berbuat baik.” (Surah al-Baqarah, ayat 195)

Menurut Muhammad al-Qutb dalam bukunya Jahiliah Abad ke-20, konsep jahiliah bukan berdasarkan masa, tempoh atau zaman tertentu, sebaliknya disebabkan individu atau masyarakat tidak mengakui Islam sebagai syariat hidup yang cukup sempurna.

Perbuatan berjudi, minum arak, berzina dan membunuh anak sendiri adalah perbuatan tidak bermoral yang boleh meruntuhkan ketamadunan bangsa. Sebagai contoh, dengan meminum arak seseorang akan rasa bangga. Mereka anggap sebagai suatu nilai kepuasan sama seperti bangsa Arab zaman jahiliah yang menjadikan arak sebagai minuman terhormat.

Masyarakat Arab jahiliah sebelum kelahiran Nabi membunuh anak perempuan semata-mata kerana malu dan dianggap tidak setanding dengan anak lelaki yang diperlukan untuk persiapan perang. Dunia mereka adalah peperangan dan memerlukan tenaga lelaki untuk kemenangan, sedangkan perempuan itu dianggap lemah yang menyumbang kekalahan.

Hal ini dinyatakan dalam firman Allah bermaksud: “Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang daripada mereka bahawa dia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang dia menahan perasaan marahnya dalam hati. Dia bersembunyi dari orang ramai kerana (berasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (dia beroleh anak perempuan sambil dia berfikir), adakah dia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina atau dia akan menanamnya hidup-hidup di dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.” (Surah al-Nahl, ayat 58-59)

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Dewan Amal Islami

Penjagaan gigi kanak-kanak

2010/04/08
Berita Harian

Ketahui panduan menjaga kesihatan oral dengan betul

KETIKA dilahirkan, lazimnya gigi bayi sudah terbentuk walaupun masih tidak kelihatan. Gigi berkenaan akan mula keluar pada usia enam bulan, namun ada juga sesetengah bayi yang mengalami pertumbuhan gigi lebih awal dan tidak kurang juga yang agak lewat.

Bagi kebanyakan bayi, gigi yang mula tumbuh ialah dua gigi depan bahagian bawah, diikuti empat gigi bahagian atas. Selepas itu barulah gigi lain mulai tumbuh, lazimnya dua sekali gus di satu rahang diikuti rahang sebelahnya. Pada umumnya, setiap kanak-kanak mesti mempunyai 20 gigi susu keseluruhannya ketika mencapai usia 36 bulan.

Begitu pun, kebiasaannya anda akan dapat melihat ruang antara gigi susu si kecil memandangkan ada perbezaan antara gigi susu dengan gigi dewasa. Ini bagi membolehkan pembentukan gigi dewasa kelak, selain memudahkan anda menggosok gigi si kecil.

Menjaga gigi susu

WALAUPUN gigi susu akan diganti kelak, adalah wajar menjaga gigi susu seperti gigi dewasa. Ini kerana kehadiran gigi susu yang sihat:

  • Membantu kanak-kanak menggigit dan mengunyah.
  • Membuatkan kanak-kanak tampak menarik.
  • Membantu kanak-kanak bertutur dengan lancar.
  • Membantu gigi dewasa berada pada kedudukan betul kelak.

    Ibu bapa digalakkan memberus gigi anak menggunakan berus gigi apabila bayi sudah mempunyai empat gigi sekali gus, sama ada di atas atau di bawah. Pilih berus gigi lembut dengan berus nilon. Anda juga boleh menjadikan berus itu lebih lembut dengan merendamnya dalam air suam untuk beberapa minit.

    Gunakan ubat gigi berflourida dengan saiz sebiji kacang atau bersihkan berus gigi dengan air biasa. Ingatlah, anak anda mungkin akan cuba menelan ubat gigi berkenaan. Menelan terlalu banyak ubat gigi berflourida boleh menyebabkan masalah kosmetik pada gigi dewasa kelak.

    Pada masa sama, bersihkan gusi yang tiada gigi dengan kain lembut. Pastikan anda menggunakan flos sekali sehari apabila ada dua gigi yang tumbuh bersebelahan. Sebaiknya bincangkan masalah gigi anak anda dengan doktor gigi atau doktor paediatrik.

    Ada ketikanya, anak anda mungkin ingin mencuba untuk menggosok sendiri giginya. Sebenarnya, tidak menjadi masalah bagi melatih si kecil anda untuk menggosok sendiri giginya, asalkan anda pastikan dia berjaya menggosok semua giginya dengan betul.

    Kanak-kanak akan dapat menggosok gigi dengan betul ketika mereka berusia tujuh atau lapan tahun, justeru sebaiknya penting bagi anda untuk memeriksa gigi mereka setiap hari.

    Kerosakan gigi akibat susu

    Kerosakan gigi akibat tabiat meminum susu adalah serius, tetapi boleh dicegah. Ini boleh berlaku apabila gigi terdedah kepada gula dalam karbohidrat untuk jangka masa yang lama. Karbohidrat dalam bentuk cecair seperti jus buah-buahan dan susu mulai dicerna dalam mulut untuk ditukar kepada bentuk gula.
    Oleh itu, apabila cecair itu dibiarkan berada lama dalam mulut, bakteria akan mula memakan gula yang ada dan dalam proses itu. Bakteria berkenaan akan menghasilkan asid yang boleh menyebabkan gigi mengalami kerosakan.

    Lazimnya, ini berlaku jika bayi:
  • Tidur sambil minum susu, jus atau air manis.
  • Minum air manis atau susu sebelum masuk tidur.
  • Diberikan puting yang dicelup dalam madu, gula atau cecair manis.

    Bagaimanapun, susu ibu tidak akan menyebabkan kerosakan gigi melainkan ia diberi bersama sumber karbohidrat. Bayi yang diberi diet campuran berisiko mengalami kerosakan gigi, namun kajian menunjukkan kerosakan gigi bukan sekadar berpunca daripada apa yang diminum, sebaliknya berapa kerap anak anda minum.

    Panduan elak kerosakan gigi bayi:

  • Jangan tidurkan bayi anda dengan sebotol susu mengandungi sumber karbohidrat. Ini termasuk minuman lain kecuali air biasa.
  • Ceraikan susu si kecil ketika usia 12 atau 14 bulan dengan nasihat daripada paediatrik anda.
  • Jangan tenangkan bayi anda untuk waktu tidur pada siang hari menggunakan botol susu, melainkan anda menggunakan air biasa.
  • Jangan celup puting dengan cecair manis.
  • Jangan campur gula dalam makanan si kecil.
  • Bersihkan gigi dan gusi selepas waktu makan.
  • Bawa bayi bertemu doktor gigi sebaik gigi susu pertama mula tumbuh.
  • Ajar anak anda untuk minum menggunakan cawan.

    Pemeriksaan doktor gigi

    Menurut American Academy of Pediatric Dentistry, kanak-kanak wajar dibawa bertemu doktor gigi apabila dia meraikan ulang tahun kelahiran yang pertama bagi mengelakkan mereka mengalami kerosakan gigi pada usia muda.

    Walaupun idea itu masih agak janggal di negara ini, amalan itu dicadangkan oleh kebanyakan pakar pergigian. Lebih satu daripada empat kanak-kanak di Amerika Syarikat didapati mempunyai kaviti ketika berusia empat tahun, dan ada yang seawal usia dua tahun.

    Bagi mengelakkan kaviti pada usia muda, ibu bapa digalakkan memahami panduan penjagaan gigi dan pengurusan makanan yang betul untuk kanak-kanak kecil.

    Oleh itu, apabila bertemu dengan doktor gigi, ibu bapa digalakkan mendapatkan maklumat seperti cara menjaga gigi yang betul, penggunaan betul ubat gigi berflourida, tabiat oral termasuk menghisap jari dan hubungan antara diet dan kesihatan oral.